nuffnang

Wednesday, March 30, 2016

kembali pulang

"Sampai satu masa, ada satu kehilangan yang akan dirasakan. Kehilangan yang menerbitkan kesunyian. Rupanya, yang sunyi bermula dari ruang hidup sendiri. Rupanya, yang hilang adalah hati sendiri. Kita sendiri yang menciptakan, bukan?" 

entah mengapa, kebelakangan ini aku dibisikkan dengan pertanyaan dan usikan dari teman jauh dan dekat. "Bila nak update blog?" "Kenapa dah lama tak menulis di blog?" lama juga aku termenung memikirkan. Malah, sebenarnya aku sudah terlalu lama meninggalkan dunia menulis di laman blog. Bila diasak dengan pertanyaan, barulah aku tergerak hati untuk membuka blog yang sudah usang. Menatap dengan menungan panjang, sekejap tersenyum, tersengih, tergelak sendiri dan akhirnya perasaan itu bercantum dengan pengakhiran yang indah. 

benarlah, membaca catatan-catatan lama ibarat terapi untuk mengingat kembali momen-momen yang pernah terisi dalam hidup ini. Biarpun kadang aku merasa tulisan itu sangat menjengkelkan dan mulalah bersoal jawab sendiri, "kenapalah aku menulis macam ni dulu?" sungguh, akhirnya tiada jawapan. Kerana tulisan-tulisan lewat waktu yang sudah berlalu adalah rakaman kenangan yang meninggalkan persoalan, dan hal hal itu sentiasa perlu difikirkan kembali. 

ia menerbitkan kefahaman, kesedaran dan kepuasan. 

dan, aku merasa rindu untuk menulis semula. sungguh. 

aku sedar ada sesuatu yang hilang setelah aku sendiri yang 'menghilangkan diri'. 

dan, aku mahu kembali pulang. sentiasa mahu kembali. 

'moga jiwa sentiasa terisi dengan memaknakan hidup ini'

bismillah.

Thursday, March 5, 2015

kerana dekan atau kerana tuhan?

memang hidup ini merupakan satu pilihan
al quran sudah menjelaskan
tentang akhir kehidupan
mahu murka-Nya atau reda-Nya

sedang kau belajar berhempas pulas
tadah hujanan ilmu daripada para ilmuan
kalau kau hanya mahukan pujian insan
dan sekadar harapkan dekan
kau kerugian

kerana kau lupa akan reda tuhan

apalah gunanya ilmu jika belum diamalkan
apalah gunanya ilmu jika belum dicurahkan
apalah gunanya ilmu jika belum bisa
membuatmu menjadi manusia
belum bisa memaknakanmu perihal kehidupan
belum bisa mengenalkanmu tentang tuhan

sia sia

dekan hanya penanda kejayaan
untuk kita terus kedepan
bukan tujuan
bukan kesempurnaan
bukan ketakjuban

kadang hanya ujian
untuk melihat apa yang kau responkan

sijil dan pengiktirafan hanya penghargaan dari manusia
yang belum tentu diiktiraf oleh Yang Maha Kuasa

belajarlah kerana tuhan
bukan kerana dekan

buatlah kerana tuhan
bukan kerana insan

pilihlah pilihan yang mendekatkanmu dengan tuhan.

Thursday, January 15, 2015

Sem satu yang berlalu

sem satu sudah berlalu
kukaut segala pengalaman dan ilmu
dan segala kenangan lalu
yang menemani hidupku

kuteringat semula mula mula dahulu
betapa aku berkeras tidak mahu
kembali ke sini menuntut ilmu
tapi siapalah aku untuk menidakkan
segala aturan Tuhanku
siapalah aku untuk memadamkan
tulisan ketentuan perjalananku

aku hanya hamba yang mampu membuat pilihan
dan hanya Dia yang dapat menentukan pilihan
yang paling terbaik buatku

sedikit demi sedikit
terbuka tabir hikmah-Nya
kenapa aku perlu berada di sini
untuk tiga tahun lagi

percayalah wahai diri
semua yang berlaku
adalah yang baik-baik sahaja
kerana semuanya mendekatkan
diriku kepada Dia

hanya itu
dan aku perlu meyakini
dengan segenap pengharapanku

jumpa di semester dua
dengan izin-Nya

aswara
15 januari 2015.

Saturday, January 10, 2015

Muhammad

subuh itu
12 rabiulawal tahun gajah
dia lahir dari rahim Aminah
tanpa disambut Abdullah
dititipkan iman secerah matahari
dikurniakan akhlak sedingin embun
manusia paling sempurna
yang diturunkan Tuhan
untuk menyempurnakan
iman dan akhlak
berjuta juta manusia.

dia memimpin manusia
keluar dari gua jahiliah
menuju jalan tarbiah.

dia pergi sebelum sempat
bertemu umatnya di penghujung zaman
dikirimkan kitab quran
agar umatnya terus teguh di jalan Tuhan.

dialah lelaki harapan dunia akhirat
yang mencintai umat melebihi apa pun
tanpa dia mungkin kita
takkan mengetahui tujuan 
kita dihidupkan
takkan mengenali siapa Tuhan
yang menciptakan
dan takkan mengenali 
diri sendiri.

Allahuma solli ala saidina muhammad
wa ala alihi saidina muhammad.

tunggu kami di sana wahai rasul kami.

---
Nur Suhada
Maulid Akbar Darul Murtadza
Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa
3 Januari 2015.