nuffnang

Friday, June 1, 2012

Kenapa Menulis Cerpen?



Assalamualaikum 


Dulu masa awal-awal mengarang sebaris demi sebaris menjadi sebuah cerita, aku tulis cerita hidupku sendiri, kisah persahabatan, dunia persekolahan, kisah keluarga dan sekitarnya yang begitu dekat dengan aku yang ditulis hanya untuk diri sendiri dan kepuasan hati yang tak lebih dari rasa suka-suka. Aku tak fikir apa-apa selain itu. 

Di Tingkatan 4, aku mula menggeluti majalah-majalah sastera di perpustakaan sekolah. Dewan Siswa, terutamanya. Menikmati cerpen dan sajak-sajak di dalam majalah itu sepuas-puasnya. Dan KOMSAS, berkali-kali aku khatam membacanya. Aku mula jatuh cinta pada dunia sastera. Cinta! 

Entah. Aku rasa dunia penceritaan tu indah. 

Bebas bercerita, bebas meluah rasa, boleh merealitikan mimpi melalui aksara! 

Menulis cerita sekadar suka-suka, dengan bahasa berbunga-bunga. Aku mula bertemankan pena, tinta dan kertas di waktu senggang. Tanpa sedar, aku mencipta dunia sendiri. 

Dah lama-lama baru sedar agaknya bahawa dalam cerita itu ada kehidupan. Dalam cerpen itu ada kehidupan. Ada persoalan. Ada pengajaran. 

Bukan ditulis sekadar suka-suka. 

Eiii lambatnya nak matang! Sudah, diam. 

Suatu hari, aku teringat guru Sejarahku – ya, aku jadi minat subjek Sejarah kerana tertarik dengan penyampaian beliau. Cikgu tu garang-garang manja  - suka piat telinga, cubit lengan – rasanya bisa, sambil memerli dan senyum sinis.  Maka, aku mula menulis cerpen Cikgu Annisa – dari kisah guru Sejarahku itu. 

Aku tak percaya macam mana aku boleh hantar ke Dewan Siswa, untuk pertama kalinya. 

Dan tersiar. 

Lagilah aku tak percaya! 



.....
“Pada sekitar tahun 2205-1766 SM, dinasti beraja China diasaskan oleh Dinasti Hsia. Pada sekitar tahun 1766-1050 SM, dinasti beraja China diasaskan oleh orang lain. Siapa nama beliau Hazimi?”

Pantas Hazimi bangun. Terkulat-kulat dia berfikir.

“Hah! Jawablah cepat!” Terkejut Hazimi apabila jerkahan Cikgu Annisa hinggap di telinganya. Mata Cikgu Annisa bulat. 

“Dinasti Shang!” Lancar bibir Hazimi menjawab. 

Cikgu Annisa mengangguk.  

(Cikgu Annisa, Dewan Siswa Oktober 2008) 


Ya, dari pembacaan aku memperoleh idea. Dan pengalaman mendewasakanku.  

.....
“Neesa, kalau kau dapat melihat semula, siapakah yang hendak kau lihat dulu?”

Aku terkesima. Satu persoalan itu ternyata sukar untukku jawab. Kalau aku dapat melihat semula, siapa ya agaknya yang hendak aku lihat dahulu? Adakah Bonda Murni, tukang masak di Teratak Kasih yang baik hati itu? Mungkin pohon jacaranda yang menjadi pohon kesayanganku? Atau aku mahu melihat dahulu foto keluargaku yang sudah lama benar aku tidak melihat? Mungkin juga pantai Seroja yang ingin kulihat dahulu?

“Neesa.” Panggilnya lembut.

Aku menghela nafas panjang. “Aku mahu melihat wajahmu dahulu, Syam. Wajah yang selama ini mewarnai dan menyuluhi hidupku. Wajah yang memberikan mesin taip Braille, hadiah yang paling aku hargai. Aku nak sangat melihat wajah muliamu, Syam.” Aku mengelus-elus tangan Syammir. Terasa bergugus-gugus kehangatan tangan Syammir mengalir ke dalam setiap inci tubuhku.

“Neesa, kau pasti akan melihat semula. Aku akan bawa hadiah yang kau idam-idamkan selama ini,” ujarnya sambil membetulkan jilbabku yang rosak dikibas deruan angin yang sepoi-sepoi bahasa di bawah pohon jacaranda. Aku mengukir senyuman.

(Cinta dibawah Pohon Jacaranda, Mininovella Fair & Lovely, Harian Metro Oktober 2008) 

.....
“Dengan inisiatif ini, kau boleh membuka mata masyarakat dalam dalam dan luar negara bahawa bunga mawar bukan sekadar bunga. Malah, dengan ilmu kimia yang kau pelajari kau boleh mencipta satu elemen atau medium daripada bunga mawar itu. Kau boleh mencipta minyak wangi, aromaterapi atau apa-apa sahaja bersumberkan bunga mawar,” Vanessa memandangku. 

“Mawar Taman Ezzflowz,” nama yang begitu asing pada pendengaranku terluah daripada ulas bibir Vanessa. Aku mengerutkan dahi. “Apa yang kau sebutkan tadi?” soalku kepada Vanessa. Nurbaya dan Siva hanya tersenyum.

“Itu adalah nama baru untuk perniagaan bunga mawarmu pada abad ke-21 yang bakal merintis ke wawasan gemilang 2020. Kami berharap, nama yang kami titipkan dan ciptakan itu membawa kejayaan yang terbesar buatmu, Sya!” ujar Nurbaya. 

Nama itu berlagu di bibirku. Aku mengukir senyuman. Lantaran nama itulah yang menyebabkan aku ingin terus menunaikan amanat arwah ayah supaya menjaga emak, Lia dan Rose Garden. Ternyata usaha teman-temanku untuk menyemarakkan semangatku dengan secebis aksara yang tidak seberapa itu telah berjaya! Betapa butir bicara mereka itu bisa menghembus tiupan sukma damai ke dahan hatiku yang hampir rapuh. Biarpun barangkali seuntai aksara itu antaranya telah terserpih. Mungkinkah Mawar: Taman Ezzflowz bakal mengerdipkan cahaya di jendela arus dunia globalisasi? Mungkinkah pohon-pohon mawar itu akan menitipkan secebis manfaat kepada alam atau manuasiawi? Aku menghela nafas panjang. Aku tahu bahawa, perjalanan hidup ini tidak sunyi daripada suatu pengharapan.

(Mawar : Taman Ezzflowz, Dewan Siswa Disember 2010; Antologi Cerpen Mawar : Taman Ezzflowz; Hadiah Sastera Darul Takzim 2011)

.....
Aku tidak mengerti mengapa bidadari itu sering kali mampir ke jendela hidupku. Malah, aku juga tidak pasti mengapa kehadiran dirinya bagaikan memaku jasmani dan menggegar rohaniku. Namun yang pasti dia akan selalu bertandang dengan menitipkan suara merdu yang bergemersik dengan melagukan ayat-ayat suci dan aksara demi aksara yang mendesakku untuk mencerakin makna. 

“Ingatlah, alam fana ini hanya sementara sahaja. Dunia akhirat yang kekal abadi selama-lamanya,” kata-kata itu masih lagi menghiasi bibirnya. Indera dengarku tidak terasa pasai mendengar diksi itu, malah ia bagaikan ketenangan yang menampan halwa telinga. Aku jadi terkedu tatkala bidadari itu tiba-tiba menjauh perlahan-lahan dariku dengan senyuman yang semakin berbinar. Sayup-sayup dia menghilang dari tirai mata. Bidadari! 

(Nur, Tunas Cipta November 2011) 

.....
Dendam kesumat ini sudah merebuk tenat dalam jiwaku. Rahsia itu tidak bisa diselindungkan lagi. Itu penghinaan namanya. Hak sebagai seorang wanita untuk menuntut pembelaan harus diperjuangkan. Segala kendala harus diredah. Mesti dan pasti! 

Aya Sofia!

Melunaskan dendam kesumat bukan sifat muslimahmu. Sifat itu dilaknat oleh Ya Rabb. Sedangkan Sang Khaliq mengampunkan dosa hamba-Nya. Apatah lagi kita antara sesama manusia. Lupakah dikau? 

Tidak. Aku bukan ingin membalas dendam. Apatah lagi kepada orang tuaku sendiri. Niatku cuma satu – aku berjuang untuk mendapatkan pembelaan, kebenaran dan keadilan. Aku sudah mendapatkan hakku. Sang durjana itu – papa, sudah mendapatkan hukuman yang setimpal. Dosa yang papa lakukan – itu antara papa dengan Tuhan. 

Aya Sofia!  

(Aya Sofia, Tunas Cipta Mac 2012) 





.....
Jadi, aku menulis cerpen untuk apa? Bukan sekadar suka-suka. Bukan cuma untuk bercerita. Karya sastera itu luas yang tugasnya untuk mengajar erti kehidupan, keprihatinan, keinsafan dan ketuhanan melalui pendekatan yang pelbagai. 


Tugas sastera seperti yang disarankan Horace – dulce and utile – indah dan bermanfaat. Adakah aku berjaya menerapkan elemen itu dalam cerpenku selain menyuarakan pandangan, memberi informasi dan tauladan serta (menghibur) mungkin? Kepuasan tu tidak lahir hanya melihat karya tersiar semata-mata. Kepuasan itu lahir pabila karya itu dibaca, diulas dan diperbaiki dengan lebih baik. Dari pengalaman dan kesilapanlah menjadikan aku manusia yang lebih baik pada masa mendatang. 

Semua orang boleh menulis. Tapi tak semua orang boleh mengarang. Tak semua orang berjaya menyampaikan ideologinya pada pembaca. 

Dan aku masih perlu belajar, belajar dan belajar. 


Okbai 

4 comments:

Jamilah Mohd Norddin said...

Suhada,
Wah, sudah jauh kamu melangkah dan matang dalam berkarya.

:)

Sangat setuju bahagian akhir tu. Tak semua orang boleh mengarang, tak semua bleh menyampaikan ideologinya.

Nur Suhada ✿ said...

Kak Jamilah :

Belum jauh lagi sebenarnya kak. Rasa macam saya masih lagi berdiri di permulaan, tak melangkah-langkah. Ahh bukan 'rasa' tapi hakikatnya memang itu.

Kak, saya mengambil masa yang lama untuk menghasilkan cerpen yang 'matang' dari segi kualiti dan mutu. Saya cuba belajar dari pengalaman untuk terus bergerak ke depan, walaupun sukar.

Iya, selalu saya bertanya pada diri - Apa yang pembaca dapat melalui karyaku? Dan memang, tak semua pengarang berhasil menyampaikan buah fikirannya kepada pembaca. Cabaran yang mematangkan.

Apa pun terima kasih banyak kak. Tahniah atas penghasilan buku baru akak itu - Friends Forever! Waaa saya mahu baca. ;D

Tetamu Istimewa said...

Somaga saudari terus berjaya dalam bidang penulisan. Tahniah dari saya.

Nur Suhada ✿ said...

Terima kasih cikgu Helmi. Semoga cikgu juga terus giat menulis dan menghasilkan karya penulisan.

Saya mohon tunjuk ajarnya dari cikgu juga. :)