nuffnang

Saturday, September 7, 2013

Di hujung Syawal...

Kembali

Ingatan itu pasti kembali saat hati benar-benar merasai. Pernah seorang yang wajahnya meneduhkan hati bertanya: “Dari mana nak ke mana?” 

Segera aku jawab dengan pemahaman akal kepada soalan yang sudah biasa: “Ni saya dari masjid nak balik rumah.” 

Wajah teduh itu tersenyum: “Nak, kalau kita berfikir jauh ke arah sana, kita akan menjawab begini; ‘Saya datang dari Allah dan akan kembali jua kepada Allah.” 

Soalan biasa yang bertemu dengan jawapan luar biasa. 

Angah

Kata-kata pemilik wajah teduh itu kembali di malam Jumaat yang hening, di hujung Syawal yang bening. 

“Angah dah pergi.” Khabar itu diulang tiga kali saat aku sedang mengemas barang untuk dibawa pulang ke kota, dan sungguh Angah sudah ‘pulang’ dulu, ke ‘kota’ akhirat yang abadi. “Maka apabila telah datang ajal mereka, mereka tidak dapat mengundurkannya walau pun sesaat dan tidak dapat pula mempercepatkannya.” (Surah al-A’raf  ayat 34).

Dan malam itu, malam Jumaat yang hening, alam turut merasakan kesedihannya. Mengingati sepupuku yang mesra dipanggil Angah itu, sungguh yang ada cuma ingatan yang baik-baik saja tentangnya. Segalanya penuh dengan kisah gembira dan kenangan ketika kami kecil-kecil dahulu meski lagunya kini sedih, namun aku mengikhlaskan hati dia pergi kerana orangnya terlalu istimewa yang Allah turunkan ujian kepada-Nya. Kerana aku percaya, dia akan lebih tenang di sana di tempat yang istimewa untuk orang yang istimewa sepertinya. 



Rahsia-Nya tidak tertafsir oleh manusia

Hampir tiga tahun, saat segalanya bermula ketika dia masih berada di UiTM Melaka tiga tahun yang lalu… dijenguk sakit tiba-tiba lalu menahan derita sakit dengan punca yang sukar untuk dijelaskan, yang hanya DIA yang Maha Mengetahui. Ketika itulah, semuanya berubah. Hidupnya berubah 360 darjah saat nikmat akal dan nikmat kesihatan Angah diambil perlahan-lahan oleh-Nya. Selama waktu itulah, hidup Angah kelam namun keluarganya tidak pernah putus harapan untuk menyembuhkan Angah walaupun hasilnya hanya mengundang air mata. Segala penyakit, segala misteri yang tersembunyi hanya dalam rahsia-Nya, dalam pengetahuan-Nya. 

Semoga ibu saudaraku yang mengajarku tentang tabah dan sabar akan benar-benar meyakini bahawa di dalam urusan-Nya, yang berlaku hanyalah perkara yang terbaik buat hamba-Nya. Seperti srikandi Ummu Sulaim, isteri kepada Abu Talhah yang sungguh redha menerima berita kematian anaknya dan berani menyatakan khabar sedih itu di hadapan suaminya. Dengan pegangan imannya yang kuat, dia sungguh percaya bahawa apa yang telah dipinjamkan oleh Allah di dunia boleh diambil semula oleh-Nya pada bila-bila masa. 

Dalam Surah al-Mulk ayat 2, Allah telah menegaskan bahawa tujuan DIA menguji hamba-Nya adalah untuk menunjukkan siapa antara manusia yang terbaik amalannya. Jadi, ujian yang Allah datangkan bukan untuk mendera apatah lagi menzalimi, tapi mendidik manusia agar menjadi lebih baik. Firman Allah: “Dialah yang telah menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya.”

Allah akan mengampunkan semua dosa-dosa Angah. Allah akan meninggikan darjat Angah di sisi-Nya. Allah akan menyediakan kehidupan yang paling bahagia di akhirat nanti buat Angah. Biarlah Angah sakit, susah payah di dunia sebelum Angah sihat, senang bahagia di akhirat sana. Begitu orang-orang yang mencintainya selalu meniup keyakinan dan doa yang sungguh-sungguh demi kesejahteraan Angah. 

Daripada Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Tidak menimpa seorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagiaan dosa-dosanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim) 

Di malam Jumaat yang hening, di hujung Syawal yang bening, Angah – sepupuku yang baik hati lagi istimewa telah kembali kepada Ilahi dalam usia 23 tahun. “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepada-Nyalah kita akan dikembalikan.” (HR Ahmad dan al-Nasa’i)

Di hujung Syawal adalah hujung kehidupan Angah di dunia, adalah awal kehidupan Angah di akhirat, adalah permulaan kebahagiaan Angah di sana; yang tidak ada lagi hujungnya. 

“Angah, semoga kita dapat bertemu kembali di syurga!” 

Amin. 

30 Syawal 1434H/ 6 September 2013

2 comments:

Normi Nieza said...

dtg bw n follow back cni..:)

Rose Azadir said...

Hi…saya blogwalking kat sini. Jemput datang ke blog saya yer http://ibu2ahmad.blogspot.com