nuffnang

Saturday, September 14, 2013

Ibarat daun berguguran...

“Wah! Daun berguguran!” Kata sepupuku ketika dia melihat header blogku yang kulatari dengan daun yang luruh. 

“Ada simbolik disebalik daun itu sebenarnya.” 

 Dia menoleh. 

 Aku tersenyum. 

Petang itu, kami sedang duduk di pangkin kayu bawah pokok rambutan di hadapan rumah makcik saudara kami. Kebetulan, sekarang sedang musim buah rambutan; jadi, sambil itu aku sibuk memetik buah menggunakan galah. Buah rambutan berwarna kuning jatuh bertebaran. Wah, geramnya melihat buahnya yang bulat-bulat. Aku segera memungutnya dan memasukkan ke dalam bakul yang sudah hampir penuh. Buat bekal balik rumah. 

“Daun-daun yang luruh itu seperti kita, kerana kita cuma daun hijau di hujung dahan. Ia melambangkan hayat kita yang pada bila-bila masa akan luruh ke tanah.” Kataku. 

Keningnya terangkat. 

“Daun tu juga melambangkan diri kita yang pernah jatuh, pernah gagal. Tapi daun yang sudah gugur biarlah gugur. Allah masih memberikan peluang untuk tumbuh semula. Ia akan tumbuh lagi dengan tunas harapan yang baharu!” 

Dia terdiam. Kemudian, mengangguk-angguk. “Nice. Kau cakap baru aku terfikir.” 

Aku mengopek buah rambutan. “Bila kita duduk kat bawah pokok ni, tengok daun kering jatuh ke tanah, aku teringat satu hadis.” 

Dia mengalih pandang dari ipadnya. Mukanya berkerut lagi. 

Kisahnya begini: 

Pada suatu hari, Abu ‘Uthman dan Salman al-Farisi yang merupakan sahabat baik sedang berada di bawah sepohon pokok. Sedang mereka berbual-bual, tiba-tiba Salman memegang sebatang dahan kering dan menggoncangkannya. Lalu, daun-daun kering di dahan tersebut berguguran sehelai demi sehelai. 

Abu ‘Uthman memerhatikan keadaan tersebut dengan penuh minat. Salman berpaling ke arah rakannya sambil bertanya: “Wahai Abu ‘Uthman, mengapa engkau tidak bertanya sebab apa aku melakukan perkara sebegini?”

Abu ‘Uthman segera menjawab: “Beritahulah sebab engkau melakukan seperti itu.”

Salman berkata. “Kerana beginilah yang pernah Rasulullah s.a.w lakukan di hadapanku.” 

Beliau menyambung: “Kami berada di bawah sebatang pokok. Baginda mengambil sepohon dahan kering dan telah menggoncangkannya sehingga semua daun berguguran. Kemudian baginda bertanya: ‘Wahai Salman, tidakkah kamu mahu bertanya sebab aku lakukan sebegini?’

Aku bertanya: ‘Beritahulah sebab tuan melakukan seperti itu.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya apabila seseorang Muslim mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat fardu lima waktu, maka gugurlah dosa-dosanya sebagaimana gugur daun-daun tadi.’

Lalu, Rasulullah membaca Surah Hud ayat 114: ‘Dan dirikan solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu permulaan malam (Maghrib dan Isyak). Sesungguhnya, amal-amal kebajikan (terutama solat) menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah tersebut bagi orang yang mahu beringat.”

(HR Ahmad)

“Terasa weh.” Dia menghembus nafas. “Hmm…”

“Kan?” Aku pun menghembus nafas. “Tidak ada sesiapa di antara kita yang tidak pernah berbuat dosa. Sama ada kita sedar atau tidak, setiap saat kita terlibat dengan dosa dan kesilapan. Tidak ada alasan kan untuk kita melengahkan apatah lagi meninggalkan solat? Kata Rasulullah, solat lima waktu yang dilakukan akan membersihkan kita daripada dosa. Paling utama, peringatan untuk aku juga yang selalu saja lupa ni.” 

“Aku juga.” Dia senyum segaris. 

Rahmat Allah sentiasa ada untuk para hamba-Nya. Aku melihat sehelai daun kering gugur ke tanah lalu terbang diseret angin petang.


6 comments:

puteri airyn said...

Begitulah hayat kita seperti dedaunan..Bila gugur.. Hilang sudah nikmat dunia..

Nur Suhada ✿ said...

@puteri airyn:

daun-daun itu ialah hayat, ialah nikmat, ialah rahmat. Semoga jiwa kita sentiasa membugar dengan harapan dan semangat baru. :)

Faariis said...

aduh terasanya. biarlah daun kita di luh mahfuz gugur ketika kita masih beriman. amiin.

chicken_floss said...

Saya senyum lagi baca entry kedua ini.terima kasih.:)

Nur Suhada ✿ said...

@Faariis:

Amin. Jangan bimbang andai sehelai daun gugur, kerana ia akan tumbuh lagi dengan tunas baru yang lebih segar dan hijau. :)

Nur Suhada ✿ said...

@chicken_floss:

Saya kembali senyum membaca komen awak. Terima kasih kembali. :)