nuffnang

Wednesday, September 18, 2013

Menulis kerana Dia

Dia ingin ke hujung sana, langkahnya diatur perlahan-lahan, segala rasa pahit manis selama kembara dia jadikan pemangkin, dan dia tetap teruskan perjalanan. Dia suka hati, dia gembira melalui jalan itu. Hanya kerana cintanya itu kepada sesuatu itu. 

Memang dia insan, insan yang selalu leka, lalai dan lupa pada hakikat. Dia tersentak, dia berhenti mengejut di tengah jalan. Lama dia begitu, tidak bergerak-gerak ke hadapan mahupun ke belakang. Tetap tidak berganjak. Dia pandang sekeliling, dia merasakan sesuatu yang hilang. Dia merasakan, apa yang dia suka hati melalui jalan itu hanya sementara. Dan dia tidak memahami dengan mata hati, pada hakikat diri, hakikat insan, dan hakikat Tuhan. 

dia bertanya – dia gembira melalui jalan itu kerana apa? Apa tujuannya? Apa matlamatnya? Dan dia suka hati kerana apa? 

Dia meyakini dengan hati, dia harus berfikir dengan akal dan hati yang sedar untuk meneruskan jalan, dan dia tidak harus berpatah pulang kerana itu hanya merugikan. Tapi dia rasa dia perlu buat pusingan U (perjalanan dalam hati) untuk membetulkan segala yang tidak betul. 

Sekarang, dia tahu yang hilang; yang tidak dibawa bersama dalam perjalanan itu adalah NIAT. Adalah hakikat. Adalah matlamat. 

Dia sedar, dia harus melalui jalan itu bukan kerana warna warni yang akan dia lihat, dengar, rasa dan terima… tapi hanya kerana Dia – yang imbalannya akan dititipkan di ‘sana’, yang lebih besar dan berharga. 

Jalan yang dia lalui itu adalah jalan penulisan, jalan sastera – yang sangat dicinta oleh dia. Apabila melihat dia di cermin, ternyata dia itu ialah aku. 



ALLAH mengingatkan kepada sang penulis dalam al-Quran untuk menulis sesuatu yang luhur dari jiwa yang luhur: 

-----
"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. 

Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun. Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki." (14: 24-27)

-----
dan ayat ini: 

"Apakah akan Aku beritakan kepadamu, kepada siapa syaitan-syaitan itu turun? Mereka turun kepada tiap-tiap pendusta lagi yang banyak dosa, mereka menghadapkan pendengaran (kepada syaitan) itu, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang pendusta. Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah, dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya? Kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal salih dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemegahan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali." (26: 221-227)

-----
Kepada aku: berkata itu mudah, melaksanakan itu susah. Takpe, kita usaha ya. Allah pandang usaha, bukan hasil. Kan hati? 

"Sahaja aku menulis kerana Allah Ta'ala." :')

12 comments:

chicken_floss said...

Kita usaha, Allah pandang usaha..terima kasih atas entry ini..:)it so meaningful to me.

chicken_floss said...

Semuanya bermula dgn nawaitu kan..:)

Nur Suhada ✿ said...

@chicken_floss:

Nawaitu akan jadi penentu - yang akan menentukan arah kita untuk ke sana atau ke situ. Nawaitu itu letaknya di kalbu - cinta Allah ada di situ.

:)

Faariis said...

amiin. moohon dikekalkan usha ini.

Faarihin said...

Semoga berjaya di dalam bidang yang diceburi ini. =)

Teringin sekali nak menulis tapi masih lagi tidak temui titik noktahnya.

Akmal Halim said...

selagi niat kita keranaNya pasti kita akan berjaya :)

Mohamad Izham M.A said...

Suka dengan petikan daripada Sayyid Qutb. Inspirasi.

Salam perkenalan.

Nur Suhada ✿ said...

@Faariis:

amin. :)

Nur Suhada ✿ said...

@Faarihin:

Allahu, terima kasih. Doa untuk kamu juga. :)

Nur Suhada ✿ said...

@Akmal Halim:

Betul :) Murnikan niat dan terus berikhtiar merupakan kewajipan insan.

:)

Nur Suhada ✿ said...

@Mohamad Izham M.A:

Kata-katanya mengingatkan kita, juga tulisan itu menembusi fikiran kita. Semoga kita lebih berhati-hati menuliskan walau sepotong ayat.

Salam ukhuwah. :)

freshtrikinternet said...

Nice blog,saya masih newbe maba, follow back yah mba.