nuffnang

Thursday, September 12, 2013

Tip Menulis Cerpen

Pertama sekali, baik juga ditanya diri – mengapa anda menulis cerpen? 

Penulisan cerpen adalah suatu interprestasi pengarang kepada kehidupan berdasarkan fakta yang digabungkan dengan imaginasi. Cerpen yang baik adalah cerpen yang menampilkan persoalan, gagasan dan pemikiran/idealogi yang besar. Penulisan cerpen juga adalah satu tranformasi pemikiran dan suara hati yang diterjemahkan secara ringkas dan padat dalam bentuk tulisan. 

Awal-awal dulu, saya bermula dengan puisi tapi lama-kelamaan ternyata saya lebih akrab dengan cerpen. Entah kenapa, naluri terasa dijalari hangat darah – kepuasan, katarsis, semangat dan penghayatan ketika menukangi karya cerpen. Anehnya, saya sangat sukar untuk memilih walau satu perkataan untuk disusun dalam puisi (yang sifatnya adalah ringkas dan padat) berbanding menyusun kata berjela-jela dalam cerpen! Jadi, saya sangat kagum dengan pengarang yang berbakat dalam kedua-dua genre penulisan – baik puisi mahupun cerpen.

Pemetaan karya

Saya memperolehi proses kematangan dalam berkarya setelah dididik untuk membuat PETA MINDA yakni ‘pemetaan karya’ – peta idea, watak, plot. Saya melalui lima proses yang bermula dengan (i) pencarian idea, (ii) persediaan, (iii) pengeraman, (iv) iluminasi (tapis idea) dan (v) varifikasi (pilih yang betul). Proses Self-editing yang dilakukan mengikut tahap-tahapnya, secara mikro dan makro, melihat semula karya dari luar dan dalam amat penting agar pengarang tidak tenggelam dalam garapan cerita dan dapat melihat kembali amanat yang ingin disampaikan.

Pemetaan Karya









Anda boleh saja melakar sendiri ‘pemetaan karya’ mengikut kreativiti sendiri. Dengan pemetaan karya, kita boleh melihat dari awal-pertengahan-akhir cerita, aspek-aspek, unsur dan keseluruhan cerpen. Ia akan ‘memandu’ kita ke jalan yang sepatutnya dan mengawal proses penulisan kita agar ‘tidak berbabas’. Pemetaan karya adalah cara mudah untuk menulis cerpen. Namun, semuanya bergantung pada pengarang. 

Apa perkara yang mesti ada dalam karya sastera seperti cerpen? 

  • INTELEK, iaitu ada sesuatu pemikiran yang tinggi dalam cerpen tersebut. Maknanya dalam karya tersebut ada mesej yang mahu disampaikan kepada pembaca supaya direnung dan difikirkan oleh pembaca untuk dijadikan panduan, mendapatkan pengetahuan dan pengalaman. 

  • PANCARAN EMOSI dalam cerpen tersebut sama ada gembira, sedih atau sinis. Maknanya cerpen tersebut memilih persoalan dan gaya bahasa yang dapat dihayati dengan baik oleh pembacanya dan dapat menimbulkan suatu fikiran khusus serta memberikan kesan pengajaran dan hiburan. 

  • PERISTIWA/PERSOALAN dalam cerpen tersebut ditulis dengan MATA HATI dan MATA FIKIR, iaitu dengan imaginasi yang mengandungi unsur-unsur pemikiran, bukan angan-angan. Ada matlamat dalam penulisan cerpen ini dan biasanya hal-hal yang positif. 

  • Sesebuah cerpen ada TEKNIK PERSEMBAHANNYA, iaitu cara olahannya, susunan peristiwanya dan diksi-diksi yang dipilihnya. 


Ciri-ciri karya unggul

1) Ideologikal
  • Memiliki idealisme/ perjuangan/ prinsip yang jelas – berupaya membawa kebenaran unggul dan memiliki ciri kesejagatan serta berupaya berbicara dalam wilayah rentas jagat dan tidak bersifat personal.
  • Idealisme/ prinsip/ perjuangan itu menjadi enjin yang efisien untuk membawa amanat yang signifikan.


2) Menampilkan Watak Unggul
  • Dapat dijadikan contoh atau tokoh ikutan kepada khalayak, dengan memiliki kelebihan disamping kelemahan yang wajar ada pada seorang insan.
  • Perwatakannya harus tekal, tidak bercampur aduk.

3) Menawarkan Estetika Makna
  • Berupaya menjana penaakulan, iaitu dengan merangsang proses mentafsir/ menterjemah sari pati karya, sekali gus memberi peluang kepada khalayak mengalami kepuasan intelektual. 

4) Memperlihatkan Estetika Bentuk
  • Mantap dari segi bentuk/ struktur; sarana sastera terbangun:

- bahasa
- teknik
- watak & perwatakan
- plot
- latar

5) Memperagakan Keseimbangan
  • Seimbang antara unsur-unsur dalam struktur
  • Seimbang antara unsur-unsur dalam makna dan struktur

6) Tahan zaman
  • Berupaya berbicara dalam wilayah yang luas/ rentas budaya, rentas jagat.
  • Berupaya merentas masa, melangkaui generasi, era dan tamadun.

----
Dalam menulis cerpen, setiap perenggan tulisan, setiap baris ayat mahupun sepotong kata-kata adalah sangat penting, bermakna dan tetap diambil kira supaya ungkapan tersebut tidak menjadi sia-sia. Bukankah Rasulullah mengingatkan kita dalam sabdanya; “Kata-kata yang baik itu seperti sedekah.”

Salina Ibrahim, semasa program MPR pernah mengingatkan, “Hendak pandai tulis cerpen kena baca 40 buah cerpen setiap hari!” Pesanan itu membuatkan kita tahu bahawa perkara yang paling penting sekali sebagai penulis adalah kita harus membaca, membaca, membaca kemudian barulah menulis – bak kata A Samad Said. 

Setiap pengarang mempunyai cara yang berbeza-beza dalam mengarang. Saya sendiri, melalui cara yang berbeza dalam menulis setiap cerpen kerana prosesnya kadang tidak sama. Atas dasar perkongsian, saya kongsikan tip ini. Saya juga meminta maaf kepada teman-temanku yang bertanya kerana terlalu lewat berbahagi dan berkongsi. Semoga bermanfaat. 

Akhir sekali, sekali lagi baik juga ditanya diri – mengapa anda menulis cerpen? :) 

Sumber: nota kuliah penulisan cerpen dan nota bengkel perkampungan penulis muda. 

10 comments:

Kin Naz said...

nice sharing, sesuai tuk mereka yang mula bejinak dengan penulisan cerpen

NURUL FARHANA said...

Terima kasih atas perkongsian ini.:)

Shafiq Said said...

memang tengah belajar2 tulis cerpen ni . terima kasih :)

Nur Suhada ✿ said...

@Kin Naz:

insyaAllah. Semoga mereka yang ingin belajar menulis beroleh manfaat.

Nur Suhada ✿ said...

@Nurul Farhana:

sama-sama. Boleh tulis cerpen lepas ni ;)

Nur Suhada ✿ said...

@Shafiq Said:

Alhamdulillah, moga awak beroleh walau sedikit ilmu. Penulis yang bijaksana ialah yang sentiasa mahu belajar. Menulis perlahan-lahan, janji istiqamah. :)

puteri airyn said...

Nice sharing.. kita menulis kerana setiap inci yang ada di dunia ini punya cerita tersendiri.. Idea selalu datang menterjah minda.. Segalanya berlaku dengan izin Illahi Allah SWT.. :-) Selamat menulis..

Nur Suhada ✿ said...

@puteri airyn:

Ya. yang penting sekali menulis kerana Allah, kerana ibadah, dan kerana setiap plot peristiwa yang Allah aturkan buat manusia semuanya indah!

:)

Ikhwan Zall said...

Alhamdulillah . Membantu sy dalam menulis cerpen . syukran .

Muhamad Faiz said...

Terima kasih kerana berkongsi pengetahuan anda. Ini sedikit sebanyak dapat membantu saya memulakan cerpen saya yang pertama.