nuffnang

Tuesday, February 18, 2014

Lukisan Sebuah Kehidupan

Denganmu aku hidup
Denganmu aku mati
Hanyalah padamu
hanyalah untukmu
Hidupkan dijalani
- Dengan-Mu aku hidup, Opick

Aku ialah seorang yang buta seni dalam menafsirkan sesebuah lukisan. Lukisan potret, alam mahupun abstrak – ia terlalu sulit untuk aku terjemahkan gambaran makna. Bagaimana harus aku memaknakan maksud sebuah lukisan Latiff Mohidin yang terjalur garis-garis halus yang saling bersambung, sesekali aku lihat bagaikan tumpahan warna yang membentuk sesuatu yang tidak terlintas di benakku apa nama bentuk itu. Tajuk sebuah lukisan tergantung itu menyapa mataku; Surah An-Nur: 24.

Lukisan Latiff Mohidin: Surah An-Nur; 24
Boleh jadi kandungan tafsir surah itu dilukiskan di atas kanvas. Boleh jadi surah itu hanya menjadi pencetus ilham. 

Aku sering tertanya, yang buta itu mata zahirku atau mata hatiku? Hanya yang membuatkan aku percaya, setiap akal dan rasa manusia itu berbeza dari segenap cara, untuk itu aku tinggal meyakini bahawa apa yang aku rasa itulah erti sebuah lukisan! 

Aku membuka mushaf mencari erti, memulihkan mata hatiku yang buta. 

Pada hari, (ketika) lidah, tangan dan kaki menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. (An-Nur: 24)

Aku kembali melihat lukisan yang kuabadikan dalam folder. Hatiku mengiyakan, hatiku tidak sesekali menidakkan. Hatiku penuh dengan rasa bercampur, yang hitungannya mungkin beribu, tapi menghala ke arah Yang Satu. 

Lidah 
Tangan
Kaki

Hatiku yang bertanya, hatiku juga yang menjawab. 

Betapa sulit aku meneliti sesebuah lukisan, begitulah sulitnya aku memahami kehidupan ini. Kehidupan yang penuh seni dan keindahan. Kehidupan yang mengajar pendidikan mengenal diri sebagai hamba Ilahi. 

Berusaha mengenali diri. Meskipun payah dan kadang sesat dalam permusafiran pencarian diri. 

Dalam kembara inilah, aku melihat dunia dengan mata hati. Aku membuka jendela mindaku dengan bukaan yang sederhana untuk perlahan-lahan memahami makna. Kadang kala pandanganku sempit kerana diriku realitinya masih tersepit antara kecetekan pengalaman dan ilmu. 

Namun, aku tidak sesekali menolak. Hanya memberi penghidupan yang baharu tanpa menggelapkan pada sesuatu yang gelap. Aku harus berkali-kali mengingatkan diri, uniknya manusia itu kerana persepsinya tidak ada yang sama. Terlalu memandang persamaan, ia akan menjadi mendatar. 

Dalam hidup ini, di lingkungan hari ini, aku mempelajari sastera dan seni – yang mengenalkan aku pada hakikat diri, hakikat Ilahi. Impian aku yang lebih berharga untuk mengenggam diploma dan ijazah taqwa di universiti kehidupan. 

Diploma dan ijazah taqwa yang dikurniakan oleh Dia. 

Bertafakur sesaat, melewati semua ini adalah rahmat. Aku semampu daya memahami fitrah diri sebagai seorang muslimah, lantas dalam daerah itu menemukan aku dengan falsafah hidupku. Falsafah hidup yang sederhana. 

Man ‘arafa nafsahu faqad ‘arafa Rabbahu
Sesiapa yang kenal dirinya, maka dia akan kenal Penciptanya. 
Addinul husnul khuluq 
Agama itu ialah akhlak yang baik. 

Cantiknya Allah melukis landskap alam dengan dekorasi yang cukup cantik dan mempesonakan. Semakin cantik menatap potret kehidupan yang dilakar penuh istimewa oleh-Nya. Itulah lukisan sebuah kehidupan. Biarpun sulit untuk dimengerti, namun hikmahnya begitu tinggi, keindahannya memenuhi ruang hati untuk merasai. 

Yang lebih indah itu DIA. 

Bukalah wahai mata hati dengan rendah diri. Dengan rasa yang indah-indah, demi keindahan abadi-Nya, teruskan perjalanan ke arah-Nya. Perjalanan sesekali terhenti-henti namun tetap jalan menelusuri mengenali Ilahi. Tidak akan lengkap sempurna apa yang aku cari, kerana yang pasti dalam musafir ini adalah dengan apa yang telah aku beri dan aku dapati. Dengan perlahan ia tetap akan menyempurnakan di hujung perhentian. Di sepanjang perjalanan, itulah makna kehidupan. :-) 

2 comments:

Farah Waheda Wahid said...

great piece of entry dear...

sYiRa LoKMaN said...

jalan2 intai tuan blog :D
great piece of entry dear