nuffnang

Wednesday, April 16, 2014

Motor buruk abah

Bismillah.

Abah,

sampai sekarang pun jiwa abah sentiasa tenang, sampai bila-bila pun hati abah selalu cantik. Dan abah, sampai akhir hayat pun masih dengan motor kapcai abah yang buruk itu.

abah tak pernah kata motor kapcai abah tu buruk. Abah selalu kata motor itu antik, sangat berjasa pada abah dan keluarga kita.

disebabkan motor buruk abah tulah, dua orang anak abah yang laki-laki suka dengan motor kapcai. Tengoklah abang Midan tu, minatnya pada sukan permotoran nombor satu. Abang Epiy sanggup keluarkan belanja semata-mata nak beli motor kapcai dan mendesign reka bentuknya ikut suka dia. Bunyinya pula satu kampung boleh dengar. Bila teringat, bibir ini pun boleh tersenyum sendiri.

motor buruk abah tu dah terlalu lama berguna pada kita sekeluarga. Motor yang paling abah sayang, meskipun buruk dan usang. Dulu, dengan motor itulah abah hantar anak-anak abah pergi sekolah. Mula-mula memang merungut juga sebab bunyi motor tu kuat benar, tambah pula bila belakang baju sekolah terkena percikan minyak hitam bila naik motor. Hmm.

tapi, abah tak pernah marah pun bila anak-anak abah merungut-rungut. Abah banyak beli motor, tapi motor buruk itu jugalah yang selalu abah bawa.

baiknya hati abah bila abah belikan motor setiap seorang pada anak-anak abah. Apalagi bila abah mengikut saja anak-anak abah nak beli motor yang mana suka. Abah tak kisah pun walau mahal macam mana pun. Janji anak-anak abah bahagia dan bila ada motor sendiri, harapnya rajinlah pergi sekolah dan kerja.

anak-anak abah naik motor cantik-cantik. Tapi, abah tak kisah pun pakai motor buruk tu.

abah, sampai sekarang meskipun anak bongsu abah ni sudah di universiti dan tak gunakan lagi motor skuter comel yang abah belikan tu, anak abah yang seorang ini akan tersenyum sendiri. Dan bersyukur sungguh!

balik kampung bila tengok semula motor-motor yang disimpan di bawah rumah, betapa motor kapcai abah itulah yang paling kecil, buruk dan kelam. Tapi, nilainya sangatlah tinggi. Itulah, yang anak abah baru rasai sekarang.

motor buruk yang masih elok, biarpun sudah bertahun-tahun menyimpan segala kenangan keluarga kita. Motor buruk yang selalu abah bawa ke masjid, ke pekan, ke kebun dan ke mana-mana.

motor buruk yang sebenarnya sentiasa baru pada pandangan mata hati abah, hati kita.

abah, bagaimanakah abah memaknakan cinta itu begitu cantik? Cinta yang tak terucap di bibir, tapi cinta yang ditunjukkan dengan tindakan dan pengorbanan. Inilah cinta!

abah, laki-laki yang menjadikan aku menjadi aku. cinta menjadi cinta.



wahai ayahanda
bercukuplah menggagah tulang rapuhmu
akukan lemahmu
perikan penatmu
kisahkan jerihmu
aku mahu tahu

mata tua yang bagai ada sakti dewa-dewi itu--
harum
senyum
- Biar, Fynn Jamal.

No comments: