nuffnang

Sunday, August 31, 2014

Buku, librarian dan ISTAC



Pertama kali ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun) yang berada di Persiaran Duta, aku terpegun dalam cahayanya. Suasana damai menemaniku sehinggalah kami melalui jalan yang berbukit dan disitulah ISTAC, terletak jauh di pinggiran namun di situ jugalah adanya ketenangan. Banglo-banglo mewah di atas bukit mengelilingi, dalam terik matahari, angin sesekali menyapa. Alangkah bahagianya menjadi para pelajar master dan phD di ISTAC. Bukan sahaja dilorongi dalam cahaya ilmu, malah dilengkapi dengan cahaya khazanah buku dan sesiapa saja yang melihat akan terpukau dengan cahaya senibinanya yang sangat indah dan unik. 

Aku dan Kak Aishah bertemu dengan Kak Najibah Abu Bakar si librarian, seorang pustakawan yang majnun dengan lailanya. Sampai-sampai sahaja, Kak Najibah yang baik hati membelanja kami berdua makan nasi goreng kampung yang enak. Pandanganku pula masih terpegun memerhati segenap segi kafe yang unik dalam senibinanya, sehingga aku merasa aku lebih kenyang menelan kecantikan ISTAC yang mempesonakan. 

Seronoknya meneroka di setiap bangunan yang setiap seni binanya membawa makna yang begitu mengesankan. Aku membayangkan ramai pelajar yang lalu lalang, tetapi tidak. Setiap tempat yang aku lewati, yang aku temukan hanya sepi. Hanya beberapa orang yang boleh aku bilang yang aku temukan di kafe dan di surau. Deretan pokok tamar yang melambai ditiup angin, lalu diserikan dengan pesona seni bina klasik membuat aku merasa aku bukan berada di Malaysia. 

Maha Suci Tuhan yang mengilhamkan kepada manusia untuk merekabentuk seni bina yang begitu indah! 

Zuhur itu, kami sesat mencari surau. Lalu terbabas ke dewan besar yang menempatkan kerusi kayu yang tersusun rapi, pandanganku terpaku lagi. Bila memandang dewan besar, ia mirip seperti gereja. Aku tertanya juga, adakah seni bina Islam di dewan ini diinspirasikan daripada gereja? 

Ketenangan meluru masuk saat membuka pintu surau. Pandanganku seperti biasa setia memerhati. Di luar surau yang indah, kelihatan air pancut (fountain) dengan air yang membiru. Fountain itu lokasinya berada di tengah-tengah ISTAC, antara surau dan dewan besar. Simboliknya sama dengan keadaan hati yang berada di tengah-tengah tubuh manusia yang perlu selalu disucikan, cerita Kak Najibah. Kak Aishah yang berkongsi gambarnya duduk di fountain di Instagram menulis, “Dalam tradisi seni bina Islam melambangkan kesucian dan kehidupan. Air lambang soul purification seperti mana wudhuk yang membersihkan jiwa.” 

Indahnya seni bina Islam! 

Kami mengunjungi perpustakaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan Kak Najibah membawa kami mengitari library dan sesekali bercerita tentang ilmu, buku dan sastera. Perpustakaan empat tingkat yang besar, dengan susunan buku di rak-rak kayu, meja dan lampu berkerlipan menyebarkan cahaya kuning, jendela yang tertutup, corak siling yang memikat. Semakin aku pandang, semakin aku jatuh hati pada keindahan perpustakaan ISTAC. 

Aku seperti melihat bayang Al-Attas duduk berteleku di antara rak-rak buku, hanya dia dan buku. Bagaimanakah dapat aku bayangkan seorang intelektual penuh ilmu seorang Al-Attas yang mencetuskan pembinaan ISTAC lalu berjaya ditubuhkan pada tahun 1987 di Jalan Damansara sebelum dipindah ke Jalan Duta pada tahun 2008 sehinggalah hari ini. 

Al-Attas pasti ingin melahirkan mahasiswa sarjana dan kedoktoran berilmu dan manusia bertamadun tinggi yang menguasai ilmu tamadun Islam dan tamadun lainnya dalam bidang Islam dan keagamaan, falsafah, teologi, etnik dan isu kontemporari. 

Setiap sudut perpustakaan ini aku jelajahi dengan perasaan menggebu-gebu. Kedinginan penghawa dingin yang sederhana bertambah menyelesakan untuk aku mengitari, membelek, memegang dan membaca buku. Sebanyak 40000 jilid koleksi buku yang tersedia di perpustakaan tersebut. Buku-buku disusun dengan rapi. Banyak jurnal dalam pelbagai bahasa, monograf, manuskrip, buku-buku yang merangkumi pelbagai bidang agama, tamadun, sejarah, falsafah, metafizik dan tamadun lain yang menjadi rujukan penting sarjana Islam. 

Dikelilingi buku, aku merasa malu pada Muhammad bin Hasan al-Syaibani, anak murid Imam Abu Hanifah yang dikatakan tidak tidur malam untuk membaca. Bertambah kerdil rasanya apabila mengetahui bahawa Ibnu Rusyd tidak pernah meninggalkan buku selama hidupnya kecuali untuk dua malam iaitu pada malam pernikahan dan pada malam kematian ayahnya. 

Allah sudah mengilhamkan kepada kita melalui firman-Nya, wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah iaitu Surah al-Alaq. 

Ayat pertama Allah menyebut, “Bacalah!” 

Kenapa Allah menyuruh Nabi Muhammad supaya membaca? Sayidina Ali menegaskan, “Ilmu menjagamu tetapi engkaulah yang harus menjaga harta.” Maknanya, ilmu akan menjaga manusia untuk kebaikan dunia dan akhirat. 

“Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan.” 

Segala ilmu yang datang hanya bersumberkan dari Dia. Dia mengurniakan nikmat pengetahuan untuk kemaslahatan hamba-Nya. Dia menitipkan ilmu supaya hamba-Nya berusaha untuk mengenali-Nya. 

Ayat kedua, “Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.”

Allah menerangkan mengenai proses kejadian manusia. Dan ilmu pertama yang Nabi Muhammad dapati menerusi wahyu pertama ini adalah dengan mengenali dirinya sendiri bagaimana dirinya diciptakan oleh Ilahi. 

Firman-Nya dalam ayat ketiga, “Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia.” 

Man ‘arafa nafsahu faqad ‘arafa Rabbahu – Mengenali diri sendiri untuk mengenali Ya Ilahi Rabbi. Mengenali Allah menerusi 99 sifat-sifat Allah yang maha sempurna. Betapa bermaknanya hidup apabila menyedari kehidupan kita dikelilingi oleh sifat-sifat Dia Yang Maha Mulia.

Entah berapa lama aku membiarkan diri tenggelam dalam khazanah buku sehingga aku tidak sedar jam sudah hampir menginjak ke pukul 5. Aku berteriak dalam hati tidak mahu pulang kerana hatiku sudah melekat di sini. Kak Najibah menitipkan buku Kapsul Nurani yang dalamnya termuat catatan penuh inspirasi beliau yang hidupnya penuh cinta pada kerjaya pustakawan yang asyik bercinta dengan buku. 

Membaca coretan Kak Najibah dan mendengar pengalamannya, aku teringat pada diriku sendiri yang pernah menjadi pustakawan sewaktu di sekolah menengah. Menjadi seorang pustakawan bukan sekadar akur dengan tanggungjawab, namun cinta yang amat mendalam pada buku membenihkan putik cinta yang lain, khususnya pada penulisan dan sastera, pada kegeniusan seorang pemikir dan pengarang, pada ketinggian akal dan halusnya jiwa, pada tepunya ilmu kurniaan Tuhan. 

Hari ini aku belajar sesuatu dari seorang librarian yang majnun dengan lailanya. Tentang makna cinta seorang penjaga buku dan pencinta ilmu yang ditumpahkan sepenuhnya demi lestarinya sebuah ketamadunan. 

Ya, tamadun Islam pernah tegak selama lebih enam ratus tahun. Sifat ilmu yang berkembang dalam tradisi nizamiyyah dan madrasah adalah integrasi iaitu ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem. Ia melahirkan Ibn Sina, Abu Qassim al-Zahrawi, al-Khawarizmi dan ramai  yang hafiz al-Quran di peringkat awal umur, menguasai ilmu mengurus diri dan akhirnya memiliki kepakaran dalam ilmu mengurus sistem seperti matematik dan perubatan. 

Tradisi keintelektualan dan pengkaryaan pada kegemilangan tamadun Islam berlaku secara luar biasa. Maka, terhasilnya ribuan karya besar dalam segala bidang sebagai sumber rujukan untuk membangunkan tamadun. Sungguh, berada di ISTAC, minda jauh berkelana tentang kekuatan tamadun Islam suatu ketika dulu. 

Dan aku belajar lagi tentang tradisi pengkaryaan generasi zaman kini. Ngilu hatiku merasakan tiada satu apa pun tulisanku yang bermanfaat buat umat. Kata Kak Aishah, menjadi seorang penulis bukanlah satu hal yang mudah. Seorang penulis harus mempunyai fountain (air pancut) sebagai simbol hati yang perlu selalu dibersihkan dengan wudhuk. Allah kurniakan akal, kalbu dan daya interprestasi yang tinggi untuk diurus supaya manusia (penulis) memiliki akhlak yang baik. 

Menjadi seorang penulis bukan satu kerja yang mudah. Kerana sebelum itu harus menyediakan diri dengan ilmu dan kefahaman yang tinggi. Penulis harus belajar mentarbiah diri sebelum memberikan tulisan untuk mentarbiah orang lain. Dia sudah mengingatkan kepada penulis dalam surah al-Asyura ayat 221 hingga 227. 

Aku yang selalu lupa ini memang harus ‘ditepuk’ bahunya selalu. 

Di ISTAC, ada hati yang tertinggal di situ. Hati yang sudah jatuh terpesona dengan segala cahaya buku dan ilmu, cahaya seni bina dan segala cahaya yang ada. Ada hati yang jatuh cinta. Hati aku. 

Terima kasih Tuhan atas pembelajaran hari ini. 

- Rabu, 27 Ogos 2014

No comments: