nuffnang

Tuesday, September 9, 2014

Tunggu teduh dulu, abah


Langit teduh dipayungi awan putih. Sudah beberapa hari bumi kehausan menanti hujan. Sesekali hujan panas turun rintik-rintik, sekejap lalu hujan tergantung kembali di langit. Tercari, terintai saat hujan panas, di manakah pelangi? Lama sudah pelangi tidak memunculkan diri. Masih tercari saat burung terbang tinggi, bagaikan menuju dan menari di balik tujuh warna pelangi. Lupakah aku, ada pelangi dalam kehidupanku yang Tuhan lukiskan untukku? 

Mereka yang Tuhan titipkan untukku, mereka yang menebarkan kebaikan kepadaku, mereka yang setulus mencintaiku. Mereka adalah pelangi. 

Angin keras menerbangkan daun-daun kering, daun-daun kelapa meliuk-lentok disapa angin. Langi semakin teduh dan teduh. Lagu dari langit mula kedengaran, sayup sayup dan semakin jelas. Lagu hujan yang luruh. Titis-titis hujan dari langit berjatuhan, menebar kesejukan, membasahkan tanah, menghilangkan kehausan bumi. 

Hujan rahmat-Mu, Tuhan! 

Abah duduk di atas bangku kayu di halaman. Pandangan abah tulus memandang wajah alam di luar. Pandangan yang jauh, ingatan dan kenangan yang pasti membawa abah mengenang zaman kecil abah, zaman muda abah dan sekarang abah sedang melewati waktu senja yang tenang. Setenang hati abah, setenang hati emak. 

Sesekali, apabila abah sendiri di situ, tanpa emak dan anak-anak, abah tetap tenang di situ. Terus memerhatikan daun-daun kelapa yang seperti melambai abah, memandang pokok bunga puding emak yang seperti tersenyum pada abah, melihat perkebunan pokok getah yang seperti menatap abah teduh. Teduhnya rumah kita ini, abah dengan pokok-pokok yang masih hidup subur dan tetap bertasbih pada-Nya. 

Abah, bolehkah kita belajar daripada mereka? 

Kadang kala, abah duduk di atas buaian yang banyak menyimpan sejarah keluarga kita. Buaian besi berwarna merah itu meskipun semakin berkarat, kita masih boleh duduk dan bermain buaian di atasnya. Abah melabuhkan duduk di atas buaian dan merenung jauh. Renungan abah walaupun hinggap pada hujan turun, sebenarnya abah sedang menatap anak-anak abah satu-persatu. Menatap cucu-cucu abah seorang demi seorang. 

Kerana kami semualah yang memaknakan cinta bersama abah. 

Dalam pandangan abah yang jauh, kami tahu abah selalu ingat akan kisah keluarga kita yang penuh cinta. Hidup abah yang penuh cinta dan perjuangan dalam menjadi seorang suami, bapa dan datuk kepada kami. Hidup abah yang memberikan sebanyak pemberian untuk kebaikan anak-anak. Hidup abah yang penuh dengan pengorbanan dalam menjadikan kami menjadi manusia dan hamba kepada-Nya. 

Cinta itu adalah pengorbanan. 

Abah, inikah makna cinta bagi abah dan emak? 

Tanpa abah menjawab, kami mengerti jawapannya. Abah telah membuktikannya bahawa cinta itu adalah pengorbanan. Abah telah memaknakannya bahawa cinta itu adalah nilai sebuah pemberian. Abah yang banyak menghulur dan memberi, tanpa mahu mengharapkan kembali huluran dan balasan. 

Inilah cinta. 

Rabb, sebegini banyak nikmat yang kudapat daripada orang tuaku. Kepada Engkau yang memberi nikmat dan rahmat, nikmat manakah lagi yang aku dustakan? 

Kukenang kembali saat abah mendidikku saat kukecil sehingga kudewasa kini, ternyata sampai akhir hayatku tak mampu kuhitung kasih sayang abah. Berapa banyak yang abah berikan, sedang abah terus tawaduk dan hidup dengan sederhana. 

Abah, inilah yang sedang kubelajar tentang tawaduk dan sederhana. Aku belajar darimu, bah. Darimu… 

Hujan masih turun, turun dengan teduh tanpa kilat yang menyambar. Lagu hujan yang tenang dan tepu rindu. Hujan, hujan sedang membasahi jiwa kita, abah. Hujan, hujan sedang membasuhkan noda gelita diri kita, abah. 

Abah, bukankah hujan itu rahmat? Hujan adalah ujian. Ujian adalah rahmat. 

Sakit abah datang lagi. Ya, sahabat abah datang menjenguk lagi. Sakit adalah sahabat yang mengingatkan kita erti sihat. Sakit adalah teman yang mengingatkan kita tentang kebesaran Allah. Sakit adalah kawan yang memaknakan erti kesembuhan. 

Memang, sulit bagi abah untuk menghadapinya. Sahabat abah itu datang, pergi, datang dan pergi. Sakit, baik, sakit dan baik. Tetapi, abah tidak pernah mengalah untuk berikhtiar mencari kesembuhan. Sakit abah menyebabkan abah semakin kuat menempuh kehidupan. Abah semakin dapat menghayati makna sabar. 

Betapa benar seperti yang disabdakan oleh Baginda Rasul. Keadaan orang Mukmin itu sangat menakjubkan, kerana segala urusan yang menimpanya dianggap baik. Tetapi keadaan ini hanya berlaku kepada orang yang beriman. Iaitu, apabila mendapat kesenangan, dia bersyukur kerana itu lebih baik untuknya. Dan apabila dilanda kesusahan dia bersabar, kerana itu lebih baik untuknya.

Hujan masih turun lebat, pada saat emak masih setia menjaga abah. Emak yang sabar saat abah perlu menjaga pemakanannya. Emak bimbang sebab abah kadang kala takut untuk makan. Jika tersilap makan, kaki abah akan semakin sakit dan membengkak. Sakit gout yang kebelakangan ini kerap menyerang abah. 

Saat hujan melanda, pergerakan abah terbatas. Dunia abah hanya di rumah. Abah yang rumah keduanya di masjid masih tetap mengagahkan diri untuk ke rumah-Nya jika terdaya. Abah yang tidak mahu bercuti dari mengunjungi rumah-Nya lima kali sehari. 

Abah, tunggulah teduh dulu. Saat hujan sudah berhenti, abah pasti boleh kembali ke masjid. 

Kadang, abah berjalan menggunakan tongkat. Perlahan demi perlahan abah berjalan tanpa mahu dibantu, abah tetap berusaha untuk berjalan sendiri. Ya Allah bah, betapa banyak yang kami belajar darimu untuk terus menjalani kehidupan dengan sabar dan berjuang menghadapi ujian. 

Abah tahu bahawa hidup adalah ujian. Dan abah tahu bahawa apa yang dilakukannya akan mendapat ganjaran walaupun gagal di dunia, tetap memperoleh ganjaran di akhirat. Kerana itu abah terus bergerak dan mengisi hidup dengan kebaikan. Motivasi itu meresap jauh ke dalam diriku ini, abah. Tiba satu masa, tanpa tertahan akan turun hujan di langit mata. Di langit mata anakmu ini, abah.  

Sakit abah hanya sementara. Hujan tidak pernah turun selamanya kan? Hujan akan berhenti. Abah akan sembuh. Abah akan sembuh, insyaAllah. 

Abah, hujan itu ujian. Bukankah hujan itu warnanya putih dan jernih? Ia akan mengalir dalam diri abah, menyapu kekotoran dan membersihkan dosa-dosa abah, dengan izin-Nya. Tenanglah jika hujan turun dengan lebat. 

Sewaktu kecil-kecil dulu, pernah kukatakan pada emak pada suatu hari tentang harapanku untuk menjaga orang tuaku selama hayatku. Aku tersenyum bila emak tersenyum. Aku sedar ia bukan sekadar harapan dan satu tanggungjawab sebagai anak, ia lahir sendiri dari hati. 

Suatu ketika ada seseorang datang kepada Nabi Muhammad meminta izin untuk berjihad. Beliau bertanya, “Apakah orang tuamu masih hidup?” Ia menjawab, “Ya.” Baginda bersabda, “Berjihadlah kepada mereka berdua.” (HR Al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)

Saat kukatakan wawasan hidupku untuk jihad, aku seperti seseorang yang datang kepada Nabi Saw dan Nabi menasihatiku untuk berjihad kepada orang tuaku. 

Abah, seandainya Tuhan menghantarkan aku jauh untuk menuntut ilmu, aku tahu Tuhan akan selalu menjagamu dengan baik, abah. 

Ya Allah, berikanlah keteduhan hati kepada abahku untuk menghadapi ujian-Mu…
Ya Allah, berikanlah kesabaran jiwa kepada abahku untuk tabah melewati setiap liku hidup…
Ya Allah, berikanlah kekuatan zahir dan batin kepada abahku untuk terus beribadah kepada-Mu…
Ya Allah, berilah kesembuhan kepada abahku…
Ya Allah, berilah kesihatan kepada abahku…
Ya Allah, berilah kesejahteraan kepada abahku…
Teduhkan hati-hati kami untuk mensyukuri nikmat-Mu dan bersabar atas ujian-Mu. Teduhkan hati-hati kami Ya Allah…

Kukucup tanganmu, kutatap wajahmu nan teduh, mengalir deras semangat dan cinta dalam diriku. Kau telah memaknakan cinta sebenar-benar cinta, abah… Abah, hujan pasti teduh. Hujan pasti teduh. Sabarlah menunggu!