nuffnang

Cinta Sang Penulis Kecil

CINTA SANG PENULIS KECIL
Oleh Nur Suhada

Buah Pena Alumni MPR
TUNAS CIPTA, Januari 2013

“BIAR tulisan biasa tidak mengapa, asalkan nanti penulisan kita semakin lama semakin berbisa bila di baca.” Sesungguhnya ingatan saya tidak pernah terluput pada sebaris aksara dari seorang guru saya pada musim-musim persekolahan yang penuh uja. Ada rasa magis yang mengalir ketika saya mula menguliti majalah-majalah sastera di perpustakaan sekolah. Dewan Siswa, terutamanya. Menikmati cerpen dan sajak di dalam majalah itu sepuas-puasnya. Dan KOMSAS, berkali-kali saya khatam membacanya.  

Saya mula jatuh cinta pada dunia sastera. Rasa magis itu adalah cinta! 

Pada waktu itu, saya menjadi sang pembaca buku-buku sastera yang sentiasa, tetapi bukan penelaah yang berusaha mencari jawapan kepada cerita yang dibaca. Novel-novel tulisan Khadijah Hashim, A Samad Said dan Shahnon Ahmad serta cerpen-cerpen tulisan Fatimah Busu amat mempengaruhi kecenderungan minat terhadap sastera pada awalnya. 

2008 – sewaktu di Tingkatan 4, nadi sastera mulai berdenyut, bayu yang saya hela terasa bugar, sesekali sesak, kadang pengap lalu lekas-lekas saya terjemahkan kegelisahan jiwa dalam bentuk kalimah. Maka, terhasillah sajak pertama Aku Seorang Penyair (Dewan Siswa, Januari 2009), cerpen Cikgu Annisa (Dewan Siswa, Oktober 2008), cerpen Cinta dibawah Pohon Jacaranda (Metro, November 2008) dan cerpen Mawar: Taman Ezzflowz (Dewan Siswa, Disember 2010; Hadiah Sastera Darul Takzim 2011) – naratif yang seputar kehidupan di alam persekolahan nan nostalgik. 

Kisah yang terjurai dari ruang kreativiti yang ada pada diri dan alam sekitar sekadar menjadikan diri saya sebagai pemungut dan pengumpul pengalaman yang paling setia. Ketika itu, saya sekadar menulis tanpa sebarang ilmu bantu. Jadi, hasilnya juga hanya contengan pramatang budak sekolah. Saya adalah penconteng mimpi-mimpi, yang menulis mengikut hati bukan desakan teori. 

Bengkel penulisan pertama yang saya sertai telah menemukan saya dengan para fasilitator dan para penulis dari Persatuan Penulis Johor (PPJ) seperti Rohaidah Yon, Azhar Salleh, Nazim Mohd Subari, Zaid Akhtar (hanya menyebut beberapa nama) yang menumpahkan selautan hikmah di Perkampungan Penulis Muda yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan. Di sana, saya didedahkan dengan proses kreatif penulisan sajak dan cerpen secara ringkas dan padat namun begitu signifikan. Dari pendedahan itulah, saya mengerti serba sedikit apa itu watak, plot, konflik dalam sesebuah cerpen.  

Saya tumbuh di ladang penulisan tidak sendirian. Saya punya ibu bapa dan  keluarga yang menggemburkan semangat kecil saya. Guru-guru yang membimbing dan menghantar saya ke sayembara penulisan. Teman-teman satu kelas dan sahabat handai yang seringkali memberi ulasan secara lisan waktu itu. Minat yang tumbuh ini disirami oleh dorongan mereka yang tidak pernah berhenti.

MPR 2011: Kalam Selat Melaka

Bergelantungan rasa bersyukur, terima kasih, teruja dan segala macam rasa berbaur sewaktu saya terpilih melangkah ke Minggu Penulis Remaja (MPR) – seminggu yang dilewati dari 29 Mei hingga 3 Jun 2011 benar-benar menggegarkan rohani, meluaskan horizon pemikiran dan anjakan pengalaman yang adiwarna. Bertemu dengan para karyawan DBP, para penulis yang membimbing dan sasterawan yang berkongsi rasa kian menyingkap jendela sastera dengan lebar, dengan pandangan yang baharu. Apatah lagi bertanggam muka, berbalas senyum cinta, tertambatnya ukhuwah atas nama perjuangan dengan teman-teman seangkatan – warga ‘Kalam Selat Melaka’ yang hebat-hebat belaka lekas menjadi keluarga penulisan yang sama jiwa! 

Tamu istimewa Abdul Ghafar Ibrahim atau Pak Agi yang singgah membawa cenderamata ilmu, galak berkongsi cerita mengenai dunia penulisannya memaku jasmani saya. Memetik ungkapan beliau, “Dunia penulisan adalah dunia penuh misteri. Abstrak. Individualistik. Subjektif. Penuh cemburu-mencemburui. Tentangan. Kegagalan demi kegagalan. Putus asa yang timpa menimpa. Dunia yang penuh konflik. Dunia yang mencabar daya intelek. Dunia yang meminta pengorbanan masa dan wang ringgit.” 

Muhammad Lutfi Ishak (alumni MPR 2000) memberi pencerahan mengenai pandangan alam penyair. Menurutnya, penyair yang baik mempunyai pandangan alam yang benar. Malah, beliau mendefinisikan penyair yang baik ialah pohon yang kukuh, bukannya pokok bunga dalam pasu. Melaluinya juga, kami mengetahui serba sedikit perihal falsafah melalui karya Islam dan Barat. Pendedahan dan gambaran secara jelas dalam menukangi karya puisi oleh Shamsudin Othman (alumni MPR 1986) telah menyedarkan banyak perkara mengenai penulisan puisi dan proses penciptaan sajak yang lengkap. Menurut beliau,  puisi yang baik akan terkesan jika pengarang bijak merangkaikan idea melalui susunan kata yang baik. 

Para peserta juga telah dibimbing untuk menghasilkan karya cerpen. Salina Ibrahim (alumni MPR 1991) banyak berkongsi pengalaman proses penulisan beliau sepanjang menghasilkan karya cerpen dan novel juga diselitkan tip-tip yang maslahat untuk mendapatkan idea melalui kaedah pembacaan. Pesannya kepada peserta, menulislah karya yang sederhana menggunakan kata dan bahasa yang senang difahami serta banyakkan menghadami aneka bahan bacaan untuk dapatkan idea. Nasriah Abdul Salam (alumni MPR 2005) telah mengakrabkan para peserta dengan penekunan karya-karya cerpen beliau agar para peserta dapat mengolah sesebuah cerpen melalui pendekatan yang mudah. Beliau merumuskan semasa proses pengkaryaan cerpen, para peserta perlu menitikberatkan mengenai unsur logik dan tepat dalam menyampaikan tema, plot dan ilmu bantu yang digunakan. 

Kala MPR berlalu, mampir selalu bayu rindu pada keluarga ‘Kalam Selat Melaka’ dan mereka yang mencurahkan ilmu. Sedar, MPR membuka laluan baharu dan derap kaki sendiri yang harus menentukan hala tuju. Sajak Bahasa Seniman oleh Siti Zaleha M. Hashim muncul sekilas lalu;

seniman
turunkan titis itu dari awan dengan bahasamu
tanggalkan jingga itu dari senja dengan bahasamu
ambillah rentak itu dari dahan dengan bahasamu
bebaskan rindu itu dari gunung dengan bahasamu
kau telah memilih jalan ini, biarpun sepi dan sendiri
terasing dan tersisih, anugerah paling tinggi untukmu
tumbuhnya kemanusiaan di taman-taman kehidupan
merentas benua dan masa, menyatukan
warna serta rasa, abad demi abad.

Menulis itu adalah cinta

Karya-karya kecil seterusnya yang tidak ada apa-apanya mengiringi kembara saya antaranya; Nur (Tunas Cipta, November 2011), Aya Sofia (Tunas Cipta, Mac 2012), Suara Dinding yang Bergema (Tunas Cipta, Julai 2012), Senandungkan Gurindam Itu (Mingguan Malaysia, 23 September 2012), Hatiku Menangis di Madrasah (Harmoni, 15-31 Oktober 2012) dan Ketika Angsana Mengelopak (Wadah Siswa, November). Sebagaimana sastera itu mendewasakan saya, maka tidak sesekali saya mengenal putus asa kerana untuk berjaya; sebagai pengarang muda, saya sedar, harus ada gerak kerja yang berterusan untuk meningkatkan momentum kematangan dalam karya dan daya kepengarangan melalui pelbagai usaha dan cara.  

Minat menulis cerpen tercetus dari pembacaan karya-karya pengarang mapan yang amat saya senangi. Aminah Mokhtar dan Mawar Shafei antara pengarang wanita dari negeri daksina yang acap membenamkan saya ke dalam renungan mendalam lalu mendorong pertumbuhan kreativiti dalam penciptaan karya. Saya juga amat mengagumi karya-karya Nisah Haron khususnya penulisan cerpen dan novel beliau. Cerita-cerita yang dibaca benar-benar menarik minat saya untuk menjadi seorang cerpenis yang sebaik mereka. 

Penulisan cerpen adalah satu tranformasi pemikiran dan suara hati yang diterjemahkan secara ringkas dan padat dalam bentuk tulisan. Entah mengapa, naluri terasa dijalari hangat darah – kepuasan, katarsis, semangat dan penghayatan ketika menukangi karya cerpen. Kegelisahan yang seringkali menghantui adalah upaya untuk selalu menghasilkan sesuatu yang baru. Untuk menghasilkan cerita yang baru itulah, saya melihat dengan lebih dekat dan mengidentifikasi segala sesuatu yang ada di lingkungan sekitar dan lingkungan yang belum saya ketahui untuk mendapatkan perspektif baharu. Dari situ, saya dapat mengenal lebih dalam apa yang saya ketahui dan yang belum saya ketahui. 

Menulis itu adalah cinta. Yang jelas, dengan menulis, saya dapat berbicara lewat pena menuju mimpi-mimpi yang tak kasat kewujudannya. Karya seni berpotensi menyimpan sekaligus merakam, mendokumentasikan fikiran dan perasaan lebih lama dan ‘abadi’. 
Puncak ketamadunan sebuah bangsa ialah sasteranya, bukan bangunan tinggi atau segala binaan maujud yang canggih. Memetik bicara mutiara SN Datuk Abdullah Hussain - ''Bangunan tinggi boleh tumbang atau reput tetapi karya sastera dan pemikirannya kekal sepanjang hayat''.

ASWARA : Melangkah bersama sastera, seni dan tradisi

Aroma cinta sastera semakin menebar ketika kembara saya menuju destinasi – Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Saya mengambil diploma Penulisan Kreatif dan kini berada di tahun dua (ketika artikel ini ditulis). Di ASWARA, saya diberi kefahaman, dibimbing penuh dalam disiplin penulisan dan sastera. 

Akhirnya, saya bertemu dan mendapat pencerahan ilmu dari penulis-penulis yang karyanya saya baca sebelum ini di rubrik akhbar, majalah dan novel. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Tuan Haji A. Rahim Abdullah, En. Zakaria Ariffin, Cik Fatiha Fadila, Puan Roziah Adama, Puan Siti Jasmina Ibrahim, En. Azman Ismail. En. A. Wahab Hamzah dan En. Nasir Razali – mempertemukan saya dengan pelbagai genre penulisan melalui proses dan teori yang pelbagai. 

Saya selalu mengingatkan diri sendiri bahawa usah menulis ikut suka hati dan usah cepat berpuas hati, penulisan dan sastera adalah ilmu yang perlu dipelajari. Istimewanya, saya tidak cuma mempelajari tiga genre asas penulisan kreatif (sajak, cerpen dan novel) sahaja tetapi semua yang berkaitan dengan bidang penulisan. Contohnya, tumpuan lebih terarah kepada penulisan dramatik (skrip), drama pentas, penulisan cereka, biografi, penulisan lirik dan juga penulisan non-kreatif seperti dokumentari dan rencana. Yang sudah belajar dan akan belajar. Karya kreatif adalah seni, datang dari emosi dan fikiran yang dihalusi. Non kreatif adalah pengetahuan yang datang dari informasi. 

Mempelajari genre layar dan cereka televisyen, penterjemahan suatu gagasan tidak lagi dalam bentuk prosa tetapi melalui skrip. Barangkali ia sesuatu yang baharu buat saya yang sifar dunia skrip dramatik ini namun ia suatu keterujaan yang mencambahkan minat apabila dapat mempelajari keadeh penulisan skrip melalui Aristotle Poetics dan Pyramid Freytag. Menurut Aristotle, drama ialah peniruan kehidupan, sebuah cermin budaya dan suatu bayangan kebenaran. Oleh sebab drama menggambarkan babak-babak cerita yang sebenarnya berlaku dalam kehidupan manusia, drama boleh ditakrifkan sebagai seni yang mencerminkan realiti kehidupan yang divisualkan kembali melalui skrin. Menurut Siti Jasmina Ibrahim, “Tugas penulis ialah mempengaruhi penonton dan bukannya mengarah atau mengajar.” 

Genre drama pentas telah memperkenalkan saya dengan karya-karya Albert Camus, Plato, Putu Wijaya dan Ayu Utami. Membaca karya-karya kesusasteraan yang pelbagai ini seumpama satu penjelajahan intelektual yang menaakul idealisme dan mematangkan pengalaman. Subjek-subjek penulisan yang pelbagai genre memberi input pengetahuan yang amat besar sekali.
 
Proses mengarang 

Bila ditanya mengenai proses kreatif ketika menulis, saya terimbau tutur kata Siti Jasmina Ibrahim di dalam bilik kuliah, “Apabila ditanya proses kreatif secara literal dan kritikal, kita akan berhadapan dengan jawapan yang tidak boleh ‘tetap’ kerana kerja seni itu berseni dan tidak boleh dimatematikkan.” 

Saya memperolehi proses kematangan dalam berkarya setelah dididik untuk membuat ‘pemetaan karya’ – peta idea, watak, plot. Saya melalui lima proses yang bermula dengan (i) pencarian idea, (ii) persediaan, (iii) pengeraman, (iv) iluminasi (tapis idea) dan (v) varifikasi (pilih yang betul). Proses Self-editing yang dilakukan mengikut tahap-tahapnya, secara mikro dan makro, melihat semula karya dari luar dan dalam amat penting agar pengarang tidak tenggelam dalam garapan cerita dan dapat melihat kembali amanat yang ingin disampaikan. 

Proses pembentangan idea di dalam kuliah adalah persekitaran yang boleh mendokong kejayaan proses penghasilan karya. Pensyarah akan membantu anak didiknya agar lebih rasional dan analitis dalam memilih, menambah, menolak atau menyanggah idea. Pandangan dari rakan-rakan sekuliah menjadikan proses lebih edukatif kerana mendapat ulasan dan komentar yang bervariasi. Sememangnya penulis muda perlu mempunyai sikap terbuka untuk menerima tunjuk ajar dari golongan yang jauh lebih berpengalaman. 

Benarlah, setiap langkah yang diatur mendekatkan saya dengan tradisi. Inspirasi itu datang dari persekitaran saya yang terlalu dekat dengan seni. Ketika memukul canang sambil menonton watak Hanuman yang berbayang di kelir Wayang Kulit. Ketika melihat si penari melenggokkan tubuhnya mengikut rentak lagu Mak Yung. Ketika melihat si pemuzik itu senandungkan kalbu dalam irama alunannya. Ketika mengamati lukisan potret yang melakar rahsia hati pelukisnya. Pemerhatian ini menzahirkan ilham yang meluap-luap, lekas saya mengapresiasikannya dalam bentuk karya yang lebih serius.  

Bergabung idea dan pandangan dengan teman-teman sekuliah, ada bangga yang menyusup ke dasar jiwa betapa bertuahnya saya dikelilingi teman-teman yang mengongsi minat yang sama. Ada yang sudah menerbitkan novel indie, ada yang berbakat dalam puisi tradisional, penjelmaan idea dalam drama yang sudah dipentaskan, ada yang berbakat menulis lirik lagu dan bermacam kelebihan yang ada –saling membahu, saling berjabat atas satu genggaman padu. Di Fakulti Penulisan Kreatif ini, betapa kami semacam mengembara di sebuah lebuhraya yang panjang dalam mencari serba macam pengalaman. Doanya, moga perkelanaan ini sampai ke destinasi yang sebetulnya, memetakan arah perjuangan seni di bawah langit sastera yang luas langgas.


Cinta Sang Penulis Kecil 

Mutakhir ini ketika menguak jendela kesusasteraan, saya melihat pertumbuhan penulis-penulis muda yang muncul dari pelbagai latar belakang, sudut pendidikan, mahupun penulis yang berlatarbelakangkan luar negara. Mengamati tulisan penulis-penulis muda ini, ada kekaguman mengamati tiap nuansa lembaran yang dilakarkan dengan tulisan yang berbunga falsafah, buah ilmu nan hikmah, eksploratif, kreativiti dan inovasi serta ilmu bantu dalam bidang akademik masing-masing yang dipancarkan melalui hasil penulisan. Sastera bisa ‘bermesra’ dengan siapa-siapa, bila-bila, di mana-mana dan bidang apa-apa pun, dan memang penulisan dan sastera itu menyatukan. Hakikatnya ia saling membahu dan bersatu dalam perkongsian padu! 

Begitulah kita… pengarang muda – kita bergerak beriringan ke sebuah teratak klasik dan nostalgik – melangkah dengan bijaksana, berjabat erat, duduk semeja, saling bertatapan, borak bicara disulami canda dan tawa. Inilah pustaka yang menyimpan khazanah naskhah para sasterawan dan para pujangga sejak teratak pusaka ini ditubuhkan dan kitalah yang meneruskan legasi perjuangan – mewarisi, melestari dan menghidupkan teratak ini. Di tangan penulis muda – ada amanah yang digenggam, diperjuangkan – tentang masa depan dan hala tuju bahasa Melayu dan sastera.  

Catatan ini adalah pengalaman kecil dari derap kaki seorang penulis kecil yang mulai sedikit bertapak di denai penulisan. 2008-2012 – detik-detik awal perjalanan saya ke daerah ini yang membawa, menemukan, dan memperkenalkan saya kepada dunia baharu yang tidak pernah saya bayangkan. Dunia yang mencelikkan mata dari kelam buta, dunia indah yang merealitikan mimpi jadi nyata. Bahawa saya masih dalam pencarian. Masih jauh langkah ini perlu dipacu, masih jauh kembara ini dalam permusafiran mencari ilmu. Saya adalah tunas muda yang masih hijau putiknya, yang belum mekar kelopaknya; yang masih menagih titis jernih dari hujan yang merenik, dari biasan mentari yang sinarnya sampai walau dalam gelita. 

Sayalah sang penulis kecil yang ingin menghirup dan bernafas di atmosfera sastera, yang ingin terus mengarang dengan sederhana bersama teman-teman seperjuangan di persada sastera Melayu. Sastera itu mendewasakan. Sastera itu mengakrabkan insan dengan cinta Tuhan yang tiada batasnya. Seperti mereka, saya juga mahu memberi sesuatu dengan seadanya kerana cinta, bukan untuk pulangan dunia. Hanya yang dipinta, pemberian cinta dibalas juga dengan Cinta. 

No comments: